Kesedaran
Teknologi Hijau Masih Kurang
Tahap pemahaman di kalangan kementerian perlu dipertingkatkan jika
kerajaan mahu mengurangkan pengeluaran karbon sehingga 40 peratus pada 2025.
Rumusan itu dibuat oleh enam ahli panel yang bertemu di luar perbincangan
meja bulat Persidangan Pameran Produk Eko Malaysia dan International Greentech.
“Kita perlu memastikan bahawa tahap pemikiran teknologi hijau di
kalangan kementerian adalah sama dan mereka memahami betapa pentingnya
melaksanakan teknologi itu,” kata Naib Presiden Kumpulan DSI International,
Datuk Naser Ismail.
Beliau berkata, halangan terbesar dihadapi syarikatnya dalam cubaan
untuk melaksanakan teknologi hijau adalah pendidikan dan kesedaran di kalangan
belia mengenai ‘perkara hijau’ masih kurang.
“Tidak ramai penduduk Malaysia yang sedar betapa pentingnya untuk
melaksanakan teknologi hijau dan mengapa ia penting dikekalkan serta menjadi
satu usaha yang perlu dilakukan semua, “ katanya.
Sentiment itu turut disuarakan Pengurus Besar Komunikasi
Korporat Malaysia Airports Sdn Bhd, Nik Anis Nik Zakaria, yang berkata pejabat
patut mengurangkan penggunaan kertas harian jika perlu.
Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Pemasaran Expomal International Sdn Bhd,
Wee Teck Lee, berkata pasar raya besar pula perlu memastikan pelanggan
masing-masing membawa beg sendiri ketika membeli belah di cawangan mereka.
“Jangan cuba menjual beg plastik juga, pastikan anda memaksa pelanggan
membiasakan diri dengan idea itu. Penggunaan beg plastik adalah tidak baik
kerana ia mengambil tempoh bertahun-tahun untuk dilupuskan,” katanya.
Pengurus Produk Panasonic Malaysia, Tan Chee Hon, berkata syarikatnya
telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan terdapat lebih banyak produk
hijau boleh dipilih pengguna hari ini.
“Jangan berfikir bahawa memperkenalkan produk hijau adalah satu cara
untuk kami mendapatkan keuntungan. Ia bukan satu usaha mudah kerana kami
membelanjakan wang yang banyak untuk melaksanakan bidang penyelidikan dan
pembangunan produk,” katanya.
No comments:
Post a Comment