Monday, 19 March 2012


Kesedaran Teknologi Hijau Masih Kurang

Tahap pemahaman di kalangan kementerian perlu dipertingkatkan jika kerajaan mahu mengurangkan pengeluaran karbon sehingga 40 peratus pada 2025.
Rumusan itu dibuat oleh  enam ahli panel yang bertemu di luar perbincangan meja bulat Persidangan Pameran Produk Eko Malaysia dan International Greentech.
“Kita perlu memastikan bahawa tahap pemikiran teknologi hijau di kalangan kementerian adalah sama dan mereka memahami betapa pentingnya melaksanakan teknologi itu,” kata Naib Presiden Kumpulan DSI International, Datuk Naser Ismail.
Beliau berkata, halangan terbesar dihadapi syarikatnya dalam cubaan untuk melaksanakan teknologi hijau adalah pendidikan dan kesedaran di kalangan belia mengenai ‘perkara hijau’ masih kurang.
“Tidak ramai penduduk Malaysia yang sedar betapa pentingnya untuk melaksanakan teknologi hijau dan mengapa ia penting dikekalkan serta menjadi satu usaha yang perlu dilakukan semua, “ katanya.
Sentiment itu turut disuarakan Pengurus Besar Komunikasi Korporat Malaysia Airports Sdn Bhd, Nik Anis Nik Zakaria, yang berkata pejabat patut mengurangkan penggunaan kertas harian jika perlu.
Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Pemasaran Expomal International Sdn Bhd, Wee Teck Lee, berkata pasar raya besar pula perlu memastikan pelanggan masing-masing membawa beg sendiri ketika membeli belah di cawangan mereka.
“Jangan cuba menjual beg plastik juga, pastikan anda memaksa pelanggan membiasakan diri dengan idea itu. Penggunaan beg plastik adalah tidak baik kerana ia mengambil tempoh bertahun-tahun untuk dilupuskan,” katanya.
Pengurus Produk Panasonic Malaysia, Tan Chee Hon, berkata syarikatnya telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan terdapat lebih banyak produk hijau boleh dipilih pengguna hari ini.
“Jangan berfikir bahawa memperkenalkan produk hijau adalah satu cara untuk kami mendapatkan keuntungan. Ia bukan satu usaha mudah kerana kami membelanjakan wang yang banyak untuk melaksanakan bidang penyelidikan dan pembangunan produk,” katanya.

Saturday, 17 March 2012


Kesedaran Tentang Keberkesanan Penggunaan Tong Sampah Kitar Semula Di Kawasan Politeknik Kota Bharu

Pengenalan

Alam wujud dalam keadaan seimbang, tetapi keadaan ini kini terjejas akibat pembangunan dan pertambahan penduduk. Kita membuang banyak sampah setiap hari dan 95% dilonggokkan di tapak pelupusan sampah. Kitar semula bahan buangan adalah salah satu cara untuk mengurangkan sisa buangan dan seterusnya mengurangkan penggunaan ruang untuk menempatkan sampah sarap. Amalan kitar semula perlu digalakkan untuk melahirkan masyarakat mesra alam. Kesedaran akan kepentingan kitar semula harus dipertingkatkan dan diperluaskan. Menjadikan alam tempat yang selesa dan bersih adalah tanggungjawab kita terhadap generasi yang akan datang.


Kitar semula dapat diterangkan melalui konsep 3R iaitu Reduce (Kurang), Reuse (Guna semula), dan Recycle (Kitar semula) yang merupakan suatu konsep yang diperkenalkan sejak sedekad yang lalu. Ia terhasil kerana melihatkan keadaan bumi yang dicemari sampah- sarap yang merata-rata akibat penggunaan sesuatu jenis barangan tanpa had. Reduce (kurangkan) bermaksud mengurangkan penggunaan sesuatu jenis barangan. Kita boleh mengurangkan pelbagai jenis barang seperti elektrik, air , kertas dan sebagainya. Jika kita tidak mengamalkan konsep ini, sudah tentu barang ini akan memenuhi bumi ini jika tiada tindakan untuk mengatasi masalah ini. Reuse (guna semula) diamalkan apabila sesuatu barang itu tidak boleh dihapuskan ataupun masih baik keadaannya.

Antaranya kita boleh mengguna semula botol plastik, kotak, tayar lama, kain buruk dan sebagainya. Jika kita mengamalkan konsep Reuse dalam kehidupan seharian, kos untuk perbelanjaan harian kita berkurang dan kita dapat menikmati hasilnya. Kitar semula ialah suatu istilah yang selalu kita dengar setiap hari. Pelbagai pihak menggalakkan masyarakat supaya mengitar semula barangan yang boleh dikitar semula. Kenapa kita perlu kitar semula? Kita perlu kitar semula agar sesuatu jenis barang itu tidak melebihi had dan akhirnya menjadi sampah yang tentunya menyakitkan mata kita.


Penyataan Masalah

            Setelah membuat pemerhatian terhadap persekitaran PKB, terdapat beberapa masalah yang berlaku di kawasan kajian. Secara tidak langsung, perkara-perkara ini dapat menyokong perlaksanaan tajuk projek yang telah dikemukan.

Antara masalah yang timbul di kawasan kajian adalah :


                                            i.            Penggunaan tong sampah kitar semula kurang dipraktikkan oleh warga PKB.

                                          ii.            Ketidaksesuaian lokasi tong sampah kitar semula di sekitar PKB.

                                        iii.            Kebanyakan warga PKB kurang diberi pendedahan terhadap cara penggunaan tong sampah kitar semula dengan betul.


Objektif Kajian

                                            i.            Memupuk kesedaran dan kepentingan serta kebaikan tentang tong sampah kitar semula di kalangan warga PKB.

                                          ii.            Mengenalpasti lokasi yang sesuai bagi menempatkan tong sampah kitar semula di sekitar PKB.

                                        iii.            Memberi pendedahan  tentang cara-cara penggunaan tong sampah kitar semula dengan betul.

Skop Kajian
                                            i.            Kajian ini dijalankan di kawasan Politeknik Kota Bharu (PKB).

                                          ii.            Kajian yang dijalankan adalah Kajian Kesedaran Keberkesanan Penggunaan Tong Sampah di PKB, Kota Bharu, Kelantan.

                                        iii.            Segala maklumat dan data diperolehi melalui kaedah pemerhatian dan soal selidik.

                                        iv.            Pihak yang terlibat adalah warga PKB.

                                          v.            Membuat kesimpulan berdasarkan maklumat yang diperolehi.



HASIL KAJIAN

Latar belakang responden yang ditemuduga mengenai program kitar semula
1.      Jumlah responden yang terlibat dalam latar belakang ini adalah seramai 30 orang,29 responden terdiri daripada pelajar lelaki iaitu 63 peratus dan 11 responden terdiri daripada pelajar perempuan iaitu 37 peratus.Responden kesemuanya terdiri daripada pelajar semester akhir.

2.      Responden yang terlibat dalam kajian soal selidik ini terdiri daripada pelajar mengikut 4 jabatan utama iaitu Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA) sebanyak 60 peratus,Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE)sebanyak 10 peratus,Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM) sebanyak 3 peratus,Jabatan Perdagangan (JP) sebanyak 27 peratus.    \


      Jadual 1 : Perkara-perkara berkaitan dengan soal selidik mengenai program kitar semula                                                                                                                       


Bil

SOALAN / PERKARA


YA

TIDAK

TIDAK PASTI
1
Adakah anda tahu apa itu 3R?

30
-
-
2
Adakah anda tahu tentang kepentingan 3R?

28
2
-
3
Adakah anda tahu tentang jenis sampah yang boleh di kitar semula?

27
1
2
4
Adakah anda mengenali tong sampah 3R?

27
-
3
5    
Adakah anda tahu menggunakan tong sampah 3R?

12
7
11
6
Adakah pihak PKB  menyediakan tong sampah 3R?

19
4
7
7
Adakah lokasi penyediaan tong sampah 3R ini bersesuaian?

10
10
10
8
Adakah penyediaan tong sampah yang ada di sekitar PKB mencukupi ?

5
17
18
9
Wajarkah tong sampah 3R ditempatkan dikawasan PKB?

22
4
4
10
Perlukah penyediaan satu lokasi yang khas untuk menempatkan tong sampah?

20
6
4
11
Adakah lokasi tong sampah 3R tersebut perlu ditukar?

20
5
5
12
Adakah perlunya penambahan bilangan tong sampah 3R dikawasan PKB?

19
5
6
13
Adakah pihak PKB menjalankan banyak aktiviti program kitar semula?

12
12
6
14
Pada pendapat anda, wajarkah  program kesedaran kitar semula di jalankan di PKB?

20
5
5
15
Perlukah program kesedaran kitar semula ini dijalankan secara berterusan di PKB?

23
2
5
16
Pada pendapat anda,adakah program kitar semula ini akan dapat memberi  kesedaran tentang kepentingan dan cara penggunaan tong sampah 3R dikalangan warga PKB?

25
1
4







Hasil daripada kajian kami dapatlah disimpulkan bahawa rata-rata pelajar Politeknik Kota Bharu mengetahui tentang program kitar semula yang dilaksanakan. Politeknik Kota Bharu juga banyak mengadakan program dan seminar yang berkaitan dengan kitar semula yang banyak untuk  memberi pengetahuan kepada pelajar. Hasil kajian juga mendapati semua responden bersetuju agar pihak Politeknik Kota Bharu menjalankan program kitar semula dengan lebih meluas. Apabila ditanyakan tentang lokasi tong sampah, ramai pelajar menyatakan perlu menyediakan satu lokasi yang khas untuk menempatkan tong sampah agar penggunaannya lebih berkesan.



Faktor kitar semula

Kitar semula dapat mengurangkan masalah tapak pembuangan dan melindungi alam sekitar. Kertas yang dikitar semula hanya memerlukan 50% kurang tenaga dan 75% kurang air berbanding jika kita menghasilkan kertas dari pokok dara. Ia juga mengurangkan kira – kira 91% pencemaran air. Mengitar semula juga membawa keuntungan. Agensi kerajaan akan membayar NGO dan sekolah kerajaan dengan kertas yang mereka kitar semula. Keuntungan yang didapati akan dibelanjakan untuk kempen – kempen untuk kitar semula kertas dan sebagainya. Dengan mengitar semula kita dapat mengurangkan kos pelupusan sampah dan mengurangkan jumlah isipadu sampah di tapak pelupusan sampah.


 Kenapa pelajar perlu menggunakan tong kitar semula?

1.      Barangan berikut harus dibuang ke dalam tong kitar semula
- Kertas fotokopi, kertas pejabat, kertas fotokopi berwarna, kertas nota, kertas lejar, shredded paper, kad manila, sampul surat, kadbod dan buku telefon. Kertas kadbod yang besar harus dilipat dan diletak di sebelah tong kitar semula. Buku telefon yang besar hendaklah dikumpul dalam jumlah yang besar. Apabila para pelajar mengitar semula kesemua barang buangan, kita akan mendapati betapa sedikitnya sampah yang akan dibuang ke tapak pembuangan sampah. Apakah yang tidak patut dibuang ke dalam tong. kitar semula? Jangan buang apa-apa selain kertas buangan ke dalam tong kitar semula. Antara barangan yang tidak boleh dibuang ke dalam tong kitar semula ialah pembalut makanan, kertas karbon, kertas pembalut fotokopi dan kertas lilin.

Langkah yang boleh diambil untuk kitar semula di Politeknik Kota Bharu
Langkah yang paling mudah ialah pembuangan sampah ke dalam tong sampah yang telah disediakan. Terdapat tiga jenis tong yang berlainan warna disediakan untuk kitar semula iaitu tong warna biru untuk kertas, tong warna kuning untuk aluminium dan plastik dan tong warna hijau untuk kaca. Apa yang perlu pelajar lakukan hanyalah memastikan jenis sampah yang hendak dibuang serta mengasingkan sampah – sampah yang boleh dikitar semula dan yang tidak boleh dikitar semula. Pemungut sampah akan tahu apa yang akan dilakukan seterusnya.
Kaedah kitar semula mengikut jenis sampah

KACA
Semua jenis kaca termasuklah botol minuman, bekas makanan, botol vitamin dan bekas kosmetik.

Bagaimana kaca di kitar semula?
• Kaca akan diasingkan mengikut warna. Apabila kaca dicairkan, warna asalnya masih kekal bermakna kaca hijau akan kekal menjadi kaca hijau, kaca coklat akan kekal dengan kaca coklat, dan kaca yang jernih akan kekal menjadi kaca jernih.
• Setelah kaca-kaca diasingkan mengikut warna dan dibersihkan, ia akan dihancurkan dan ditambah dengan sedikit bahan mentah yang lain untuk dijadikan kaca yang baru. Campuran tersebut akan dipanaskan sehingga cair dan akan membentuk sejenis cecair. Kaca yang masih panas akan dibentuk untuk dijadikan botol.
• Hasil yang terbentuk akan disejukkan dan diperiksa dari sebarang keretakan/kecacatan. Proses terakhir ialah kaca-kaca yang sudah siap akan dihantar ke syarikat-syarikat atau kilang-kilang di mana kaca ini akan diisi dengan makanan dan minuman.

Kelebihan gelas
Boleh dikitar semula 100% - boleh dikitar semula misalnya. Botol jem boleh dikitar semula hari ini menjadi botol jus pada bulan hadapan, kemudian menjadi botol susu hingga seterusnya.

ALUMINIUM

Semua jenis barang yang diperbuat daripada aluminium seperti tin-tin minuman boleh dikitar semula.





• Aluminium terpakai yang telah dikumpul, diasingkan lalu direnyukkan untuk diangkut ke pusat kitar semula.
• Aluminium terpakai kemudian dilebur untuk menyingkirkan bendasing.
• Tin-tin aluminium terpakai kemudiannya digunakan untuk menghasilkan tin-tin yang baru. Kitaran semula aluminium menjimatkan banyak tenaga berbanding memproses kitar semula barangan lain seperti kertas.

KERTAS



Semua jenis kertas sama ada yang berwarna ataupun yang tidak berwarna, seperti suratkhabar lama, majalah lama, buku, katalog, risalah, kalendar, kad, sampul surat dan kotak boleh dikitar semula.

• Surat khabar lama dan majalah-majalah usang yang telah dikumpul dari seluruh negara akan dibawa ke kilang memproses kertas terpakai.
• Kertas-kertas yang dikumpulkan tadi dihantar ke tempat pemprosesan di mana pada mulanya proses mencampurkan air dengan bahan kimia akan dilaksanakan untuk membantu dalam proses penghancuran sebelum dibersihkan daripada kotoran yang nyata. Kertas yang dihancurkan tadi dinyahkan dakwat yang terkandung di dalamnya, sebelum menjalani proses pembersihan selanjutnya, proses penapisan dan pencerahan.
• Kemudian, hasil yang diperolehi daripada proses di atas dicampurkan dengan air lalu dipamkan ke bahagian hujung basah mesin membuat kertas. Kertas kemudiannya diratakan oleh mesin pelembut kertas sebelum digulung menjadi satu gulungan kertas yang besar.
• Gulungan kertas tadi kemudiannya dipotong mengikut pelbagai saiz, bergantung kepada kehendak pelanggan




PLASTIK
Beg-beg membeli belah plastik, beg plastik dari supermarkat, botol minuman plastik, botol air mineral dan bekas makanan yang diperbuat daripada plastik boleh diproses untuk dikitar semula.




Bagaimana plastik di kitar semula?



• Plastik-plastik yang boleh dikitarsemula, ini seterusnya diasingkan mengikut kategori.
• Kitar semula plastik ini adalah satu perkara yang paling mudah dan ringkas. Plastik akan dipisah-pisahkan sehingga menjadi serpihan halus yang bersaiz lebih kurang 1 sentimeter. Kemudian ia dicuci untuk membuang segala kotoran. Serpihan yang telah dibersihan itu tadi akan dikeringkan melalui saluran udara panas.
• Serpihan-serpihan plastik kemudiannya dibungkus untuk dijual (dalam bentuk serpihan) ataupun akan dijadikan bahan-bahan baru.

Pelbagai bentuk Plastik


Terdapat berbagai jenis plastik boleh didapati. Ia mesti diasingkan sebelum dikitar semula kerana setiap plastik cair pada suhu yang berbeza. Industri plastik sendiri telah mewujudkan kod identifikasi bagi melabel pelbagai jenis plastik yang berbeza. Antara jenis-jenis plastik ialah:
• Type 1 - Polyethylene Terephthalate (PET)
Kegunaan : Botol minuman ringan dan mineral. Jenis yang paling banyak dkitar semula. Kebanyakan pusat kitar semula memerlukan anda mengasingkan penutupnya dan meleperkan botol tersebut.
• Type 2 - High Density Polyethylene (HDPE)
Kegunaan : Botol detergen dan minyak masak, beg runcit serta mainan plastik
• Type 3 - Vinyl/Polyvinyl Chloride
Kegunaan : Paip plastik, perabut luaran. Pusat kitar semula jarang mengambil bahan ini untuk dikitar semula
• Type 4 - Low Density Polyethylene (LDPE)
Kegunaan : Beg plastik, pelapik tin, bekas pengisi makanan. Jarang di gunakan
• Type 5 - Polypropylene (PP)
Kegunaan : Penutup plastik, penyedut air minuman, pembalut makanan, permaidani. Jarang dikitar semula. Biasa nya di tanam di tapak pelupusan.
• Type 6 - Polystyrene (PS)
Kegunaan : Palet pembungkus, cawan polystyrene. Kebanyakan stor perkapalan/pembungkusan akan menerima bahan ini untuk digunakan semula.
• Type 7 - Lain-lain
Kegunaan : Sesetengah jenis pengisi makanan dan tupperware.

Terdapat berbagai cara untuk kita mengurangkan kadar pengeluaran bahan-bahan plastik yang tidak diperlukan. Di sini disertakan beberapa contoh:

• Elak/Kurangkan
Apabila anda membeli barang keperluan, bawalah beg anda sendiri. Jika perlu, pilihlah beg kertas bagi menggantikan beg plastik.
• Guna Semula
Jangan buang beg plastik yang terdapat di rumah anda. Simpan beg ini kerana ia boleh di guna semula.
• Kitar Semula
Jangan buang bahan-bahan plastik kerana ada sesetengah bahan plastik yang boleh dikitar semula. Bahan-bahan permainan daripada plastik yang tidajk boleh digunakan lagi boleh didermakan kepada rumah-rumah kebajikan. Ini adalah sebahagian dari cetusan idea bagaimana kita boleh menguruskan bahan-bahan plastik. Jika anda mempunyai cadangan/idea berkaitan isu ini, kami mengalukan-alukannya dari anda.

APA YANG TIDAK BOLEH DIKITAR SEMULA


Kertas
• Kotak pizza atau apa-apa yang disaluti dengan minyak/bekas makanan
• Pinggan kertas
• Tisu muka
• Kertas carbon
• Lampin
• Buku berkulit tebal
• Kotak susu
• Kertas disaluti lilin/plastik
• Bekas makanan beku
• Tuala kertas

Aluminium
• Tin aerosol
• Tin cat
• Penggantung baju
• Bahan perubatan
• Penapis minyak

Kaca
• Gelas minum
• Kaca tingkap
• Cermin Mentol
• Kaca tingkap yang pecah dan cermin kereta.
• Kaca tahan suhu tinggi - Pyrex, Corning Ware, Vision Ware
• Botol legap putih
• Kaca yang digunakan di makmal atau hospital untuk kajian dan perubatan.
• Cermin tingkap, Mentol, Cermin muka, pinggan mangkuk yang pecah, kaca untuk ketuhar, gelas minuman, kaca kristal, seramik dan tiub lampu berwarna.

Plastik
• Bahan plastik yang bukannya botol seperti bekas yogurt dan bekas marjarin
• Bekas makanan yang dibuat dari plastik
• Botol plastik yang ada sisa minyak, racun serangga atau bahan-bahan beracun

Styrofoam
Lain-lain
• Bahan letupan
• Asbestos
• Lampu kalimantang
• Bateri
• Bahan perubatan
• Bahan-bahan radioaktif



Apa yang boleh dikitar semula oleh para pelajar

Terdapat pelbagai jenis sampah yang dapat dikitar semula. Sampah-sampah ini sememangnya mudah didapati di persekitaran USM ini. Antaranya termasuklah kertas. Surat khabar, kertas-kertas dari pejabat, kertas-kertas dari pencetak, majalah dan risalah adalah bahan-bahan yang boleh dikitar semula. Item-item tersebut boleh dibuang ke dalam tong berwarna biru yang telah dikhaskan untuk kertas sahaja.

Plastik juga merupakan item yang boleh dikitar semula. Di USM sahaja terlalu banyak jenis plastik yang boleh dikitar semula. Semuanya dari kategori bekas-bekas minuman, botol-botol sabun, bekas makanan, pembalut makanan, bekas aiskrim dan banyak lagi.item-item seperti ini boleh dibuang ke dalam tong yang berwarna kuning.

Sementara itu kaca juga termasuk dalam golongan sampah yang boleh dikitar semula. Kesemua jenis barangan yang dperbuat daripada kaca boleh dikitar semula. Bekas-bekas jem dan bekas-bekas makanan sesetengahnya masih dipekkan dalam botol. Para pelajar boleh kitar semula botol-botol tersebut ataupun gunakannya semula untuk menyimpan makanan lain. Botol-botol kaca tersebut amat berbahaya jika dibuang dengan begitu sahaja. Untuk itu kaca juga merupakan sebahagian daripada kategori sampah yang boleh dikitar semula. Tong yang berwarna hijau telah dikhaskan untuk sampah jenis kaca sahaja.


KEBAIKAN KITAR SEMULA


1.      Kitar semula untuk memelihara ruang hidup kita
Pada masa ini terdapat kira-kira 230 tapak pelupusan sampah di Malaysia. Setiap satunya berkeluasan antara 20 hingga 150 ekar, bergantung pada lokasi dan jumlah sampah yang dibuang. Lambat laun, tapak-tapak ini akan berkembang dan menular mencerobohi ruang hidup kita.

2. Kitar semula untuk persekitaran yang lebih sihat dan lebih bersih
Sampah boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan. Jika dibiarkan bersepah, ia akan menjadi tumpuan haiwan pembawa penyakit seperti tikus dan gagak. Melalui kitar semula, kita dapat mengurangkan sampah yang dibuang dan seterusnya mengawal penyakit daripada merebak.

3. Kitar semula untuk mengurangkan pencemaran
Longgokan bahan buangan di dalam tong sampah, lori atau tapak pelupusan sampah merupakan salah satu punca pencemaran dalam iklim tropika. Amalan mengitar semula dapat mengurangkan ancaman alam sekitar seperti pencemaran air bawah tanah dan udara.

4. Kitar semula untuk menjimatkan kos
Dalam jangka panjang, mengitar semula adalah lebih menjimatkan berbanding dengan usaha menyelenggara tapak pelupusan sampah atau sistem yang lain. Apabila program kitar semula bertambah cekap, sampah yang perlu dilupus akan semakin berkurangan.

5. Kitar semula untuk menjimatkan sumber kita
Ramai yang tidak sedar bahawa kita sebenarnya membuang sumber yang amat bernilai. Tahukah anda Malaysia mengimport lebih daripada 25,000 tan kertas buangan setiap bulan untuk menghasilkan produk kertas bagi menampung permintaan tempatan?

6. Kitar semula untuk menjimatkan tanaga
Tenaga yang dapat dijimatkan untuk mengitar semula satu tin aluminium adalah bersamaan dengan tenaga yang digunakan untuk memasang TV selama 3 jam. Mengitar semula kaca menurunkan suhu lebur untuk kaca baru sambil menjimatkan sehingga 32% tenaga yang diperlukan untuk pengeluaran kaca.

7. Kitar semula untuk menyelamatkan hutan
Untuk mneghasilkan satu tan kertas, sebanyak 17 pohon terpaksa ditebang. Mengitar semula kertas akan mengurangkan bilangan pokok yang perlu ditebang. Kita perlu memelihara hutan.kerana ia merupakan paru-paru yang memberi kita oksigen dan udara yang bersih.
Kaedah untuk meningkatkan program 3R di kalangan pelajar Politeknik Kota Bharu

ü  Dapatkan sokongan dari pelbagai pihak

Langkah pertama yang perlu dilakukan untuk memulakan program pengumpulan adalah dengan mendapatkan sokongan dari pihak pengurusan atasan. Seorang koordinator yang berwibawa perlu dilantik untuk menerajui program ini. Dia haruslah bekerjasama dengan inidividu yang bertanggungjawab mengendalikan segala kemudahan pengurusan, pengendalian bahan-bahan, pengangkutan dan perolehan, di samping menjalinkan kerjasama dengan pembeli, kontraktor, pekerja dan orang awam.

ü  Menubuhkan kelab/persatuan

Kebanyakan syarikat telah mengenalpasti bahawa penubuhan sesuatu kumpulan untuk mengendalikan program pengurangan sampah dapat membantu menentukan kejayaan program ini. Kumpulan tersebut akan merancang, melaksanakan perancangan dan menguruskan perjalanan program ini. Pekerja yang dikenal pasti berpotensi untuk membantu program ini mestilah disenaraikan .Contohnya, pekerja yang terlibat dalam membina sistem pengumpulan mestilah mempunyai latarbelakang kerja yang berkaitan.

ü  Menjalankan kempen

Pihak kementerian juga perlu menjalankan kempen yang berterusan- memberikan tong atau plastik kitar semula secara percuma, bagi mendidik rakyat Malaysia.
ü  Penggunaan teknologi


Begitu juga dengan penggunaan teknologi bagi bahan yang boleh dikitar semula dan kemudahan pengumpulan bahan kitar semula (di mana bahan kitar semula diasing dan disediakan dalam bentuk praktikal dan boleh dijual).
ü  Penerapan penggunaan tong sampah kitar semula di peringkat sekolah

Pelajar harus diajar pada peringkat awal kurikulum sekolah mereka mengenai faedah kitar semula supaya ia menjadi amalan dalam masyarakat apabila dewasa kelak dan seterusnya mempengaruhi masyarakat.


Bagaimana untuk melibatkan diri, melatih dan memotivasikan pelajar dalam program kitar semula ?

Penglibatan pelajar, bimbingan dan tunjuk ajar serta motivasi adalah ramuan yang penting dalam menentukan kejayaan keseluruhan program mengurangkan sampah ini. Pendidikan kepada pelajar dan promosi akan menjadi satu komponen yang penting dalam program ini. Oleh itu, rancang dan lakukan langkah yang sepatutnya.
Pada peringkat awal, edarkan satu memo dari pihak atasan yang mengumumkan pelancaran program kitar semula dan minta kerjasama semua pelajar untuk menjayakan program ini. Memo ini mungkin menggalakkan pelajar untuk menawarkan diri secara sukarela menjadi ahli kumpulan yang menjalankan program pengurangan sampah. Penglibatan pelajar dalam fasa perancangan dapat membuatkan pelajar merasakan mereka mempunyai kepentingan dalam program ini dan sekaligus mendorong pelajar memberi sokongan yang berterusan terhadap program ini.
Pelajar juga harus digalakkan untuk melibatkan diri secara sepenuh masa. Pelajar akan lebih bermotivasi untuk melibatkan diri jika mereka memahami kepentingan mengurangkan sampah dan kitar semula, terutama di politeknik kota bharu dan juga kepada persekitaran. Cara untuk menjamin minat dan penglibatan mereka dalam program ini adalah dengan memberi maklumbalas tentang kejayaan program ataupun mewujudkan satu program pemberian ganjaran kepada mereka yang terlibat.


KESIMPULAN


Sebagai kesimpulannya, hasil daripada soal selidik yang dijalankan terhadap pelajar-pelajar di politeknik kota bharu, kami dapati kesedaran terhadap program kitar semula masih lagi kurang memuaskan. Pelbagai faktor telah dikenal pasti yang menyebabkan ini terjadi antaranya kekurangan kemudahan seperti tong sampah kitar semula, jarak dari tempat tinggal ke tempat kitar semula dan sebagainya. Yang paling utama ialah sikap pelajar itu yang tidak mempunyai kesedaran yang tinggi untuk menjaga kampus, negeri dan negara. Oleh disebabkan inilah maka kami dapati pelajar-pelajar lebih suka melibatkan diri dalam aktiviti lain seperti bersukan, berinternet, berpersatuan dan sebagainya. Oleh sebab itu, langkah-langkah untuk mewujudkan kesedaran tentang penggunaan tong sampah kitar semula kepada pelajar harus dipergiatkan dengan meluas. Amalan kitar semula perlu dipraktikkan kepada setiap pelajar. kita harus mempraktikkan amalan 3R iaitu kurangkan penggunaan ( reduce ), guna semula ( reuse ) dan kitar semula ( recycle ). Sudah tiba masanya kita menangani masalah ini sebelum terlewat. Fikir dulu sebelum buang, jadikan amalan mengitar semula sebagai sebahagian hidup kita agar tidak terlewat di kemudian hari.



         Mahukah anda  menjadi begini ???